Monday, January 2, 2017

Pulut Kuning untuk Anyah

Pulut Kuning dengan Rendang Daging ini dibuat khas bersempena dengan hari ulang tahun kekandaku Norazian Mohd Salleh @ Anyah Nor yang ke-45 hari ini. Rendang Daging ini dibuat malam tadi dan pulut kuning dibuat seawal pagi selepas subuh. Seronok rasanya bila dapat buat semua ni sendiri. Dulu masa mak masih ada, memang tak pernah pun buat semua ni sendiri. Tapi syukurlah sebab dulu ada bantu mak dan belajar dengan mak. Jadi bila mak dah pergi dapatlah juga buat sendiri. Memang tak sehebat mak. Tapi dapatlah melepaskan rindu pada masakan mak.
 
 
 
 
 Jadi hari ni Aida ingat nak kongsi resepi pulut kuning di sini. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri dan keluarga juga. Kalau ada sahabat handai yang berminat nak cuba, silakan.

Resepi Pulut Kuning


Bahan-Bahan:
 
2kg Beras Pulut
2 keping Asam Keping
2 Sudu Besar Serbuk Kunyit
1.2 kg Santan Kelapa
2 Sudu Kecil Garam
Daun Pandan
Air Secukupnya

Cuci pulut dan kemudian masukkan ke dalam bekas, tuang air secukupnya sehingga pulut tenggelam. 
Masukkan serbuk kunyit dan kacau sehingga rata.
Masukkan asam keping dan biarkan pulut terendam.
 (8 jam ataupun semalaman)
Toskan ke dalam tapis dan keluarkan asam keping.
Ketepikan.
Panaskan kukusan.
Susun daun pandan sehingga menutupi keseluruhan permukaan kukusan yang berlunang tersebut.
Masukkan pulut yang telah ditoskan tadi ke dalam kukus.
Ratakan dan biar sekejap.
Angkat kukus berisi pulut dan terus letak atas air mendidih.
Kukus dalam tempoh 30 - 45 minit.
 Sementara pulut dikukus, bancuhkan santan pekat dengan garam dan kacau sehingga rata.
 
Angkat pulut dari kukus dan alihkan ke dalam bekas besar.
Curahkan santan pekat sedikit demi sedikit atas pulut dan gaul sehingga rata.
Buat hingga santan habis. 
 
Masukkan semula pulut dalam kukus tadi dan kukus selama 30 minit sehingga satu jam atau sampai pulut masak dan lembut.
 
Biarkan sejuk sedikit sebelum boleh dimakan.
Siap.
 
Selamat menjamu selera.


Resepi rendang Aida dah pernah kongsi di sini sebelum ni. Kalau nak mencuba silakan.
 

No comments:

Post a Comment